GEDONG, Rabu: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Haji Zohari bin Tun Abang Haji Openg menyatakan beliau akan menimbangkan cadangan untuk beliau berpindah dari kawasan DUN N8 Satok ke kawasan lain, khususnya DUN N26 Gedong pada PRN12 yang bakal diadakan dalam waktu terdekat.
Beliau menyatakan demikian dalam ucapan merasmikan upacara pecah tanah bagi jalan raya Lubok Teranggas/Gedong di sini pada Rabu.
Terdahulu penyandang bagi DUN Gedong, Datuk Haji Naroden Majais dalam ucapan aluan telah menyatakan beliau akan memberi laluan kepada Datuk Patinggi Abang Zohari demi mempercepatkan pembangunan di kawasan Gedong.
“Saya belum tahu lagi samada mahu berpindah atau tidak kerana sebagai Ketua Menteri saya melihat semua kawasan, samada Gedongkah, Simunjankah.
“Jadi saya akan timbangkan,” jelas beliau.
Datuk Patinggi Abang Zohari menyatakan Gedong dan kawasan sekelilingnya harus dibangunkan secara bersepadu dari segi infrastruktur dan potensi ekonomi.
Beliau yakin dengan perancangan sedia ada yang agak meluas dan perancangan pada masa hadapan Gedong akan lebih maju.
Beliau berseru kepada rakyat agar terus memperkukuhkan perpaduan dan mempastikan agar Sarawak terus stabil suasana politiknya.
Sejurus tiba di sini beliau telah menghadiri taklimat pembangunan kawasan Gedong yang disampaikan oleh agensi-agensi pelaksana.
Majlis tersebut diakhiri dengan penyerahan secara simbolik 146 MediaPad sumbangan Huawei Technologies melalui Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) kepada para pelajar kurang berkemampuan daripada 12 buah sekolah di sekitar kawasan Gedong.
Turut hadir Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Dato Sri Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Pelancongan Sarawak dan Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah dan Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Haji Julaihi Narawai.
Sumber dari : Sarawakku